AKIBAT
MAKSIAT
Maksiat lawannya taat. Kedua-duanya, hanya Allah swt yang
tahu. Maksiat ada kesannya, taat pun ada kesannya tersendiri. Ketaatan menjadi
suatu yang manis bagi si Mukmin, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi
mereka yang engkar. Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan
insan di dunia dan akhirat. Mukmin, sentiasa berhati-hati dalam kehidupan
hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan. Walaupun hanya Allah swt
yang tahu semua tindakan ketaatan dan juga kemaksiatan insan, kesan dan
pengaruhnya dapat dilihat semasa hidup di dunia.
1.
Tidak Mendapat
Ilmu
2.
Tidak Mendapat
Rezeki
3.
Kerisauan dan
Kesepian Hati
4.
Banyak Mendapat
Kesulitan
5.
Kegelapan di
dalam hati
6.
Melemahkan Hati
dan Badan
7.
Kehilangan
ketaatan
8.
Mengurangi umur
dan mengikis berkah
1. Tidak Mendapatkan Ilmu
Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah swt ke dalam hati.
Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut. Pernah Imam Malik menasihatkan
Imam Syafie yang belajar dengarnya, "Saya melihat Allah swt telah
meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan
maksiat." Imam Syafie juga pernah mengeluh, "Saya mengeluh kepada
Waki', hafalanku jelek; lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan
maksiat." Sambung Waki', "Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan
Allah swt tidak berikan kepada pelaku maksiat."
2. Tidak Mendapatkan Rezeki
Dalam Musnad Imam Ahmad, "Sesungguhnya seorang hamba
tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat." Sememangnya jelas
bahawa taqwa kepada Allah swt itu mendapatkan rezeki, sedangkan meninggalkan
taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan.
3. Kerisauan dan Kesepian di Hati
Antara hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah
swt, tidak ada keseimbangan dan keterkaitan yang dirasai sebagai kenikmatan,
malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya
kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tidak akan mampu mengimbangi
keresahan tersebut.
Tidak ada yang lebih pahit dalam hati insan daripada
kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain,
lebih-lebih lagi dari orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana
perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari
lingkungan orang-orang tadi. Akhirnya, jika hati yang terasa terasing itu
banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari
kelompok yang dekat dengan Allah swt. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan
itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya
serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan tertekan dalam
dirinya.
4. Banyak mendapat kesulitan
Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam
berbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan
jalan penyelesaian yang serba sulit.
5. Kegelapan dalam hatinya
Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan
seperti gelap pekatnya malam. Bila ia diberi petunjuk, maka kegelapan
maksiatnya itu masuk menutupi hatinya. Berkata Abdullah bin Abbas,
"Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati,
kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai
orang terhadap dirinya.
Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada
wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci
kepadanya di hati ramai orang."
6. Melemahkan hati dan badan
Orang Mukmin
itu kekuatannya terletak pada hati. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi
kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya
kuat, namun hatinya paling lemah. Bayangkan, kekuatan badan orang-orang Persia
dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang Mukmin dengan kekuatan hati yang
kuat imannya kepada Allah swt.
7. Kehilangan ketaatan
Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu
adalah terhalangnya seseorang dari ketaatan terhadap Allah swt. Juga akan terputuslah
jalan-jalan kebaikan yang lainnya, sedangkan ketaatan itu lebih baik daripada
dunia seisinya.
8. Mengurangi umur dan mengikis berkah
Sebahagian ulamak mengatakan, bahawa kurangnya umur orang
yang suka melakukan maksiat ialah kerana hilangnya berkah umurnya. Hidup ini
sebenarnya adalah kehidupan hati. Umur manusia selama waktu-waktu hidupnya
sentiasa bersama Allah swt, itulah yang merupakan waktu-waktu umurnya. Bila
hidupnya berpaling dari Allah swt dan sibuk dalam kemaksiatan, akan hilanglah hari-hari
hidupnya yang hakiki. Sehingga pada akhirnya orang itu akan berkata:
"Aduhai,
sekiranya dulu saya berbuat untuk hidupku sekarang ini." (Al-Fajr:24).
Rujukan: Ibn Qoyyim, "Terapi Penyakit Hati"